Kebelakangan ini ramai berminat kepada akuaponik. Kenapa yer?
Akuaponik adalah pilihan kepada kaedah ternakan ikan bersekali dengan tanaman sayuran jangka masa singkat. Ianya sangat menarik. Sistem kitaran air yang digunakan untuk ternakan ikan dikongsi penggunaannya untuk membekalkan sumber air dan nutrien kepada tanaman.
Terserah kepada pengusaha samada berminat menternak ikan mereka selama 3 bulan sehingga kepada tempoh lebih panjang contohnya setahun tertakluk kepada saiz ternakan yang hendak dicapai oleh pengusaha.
Sebenarnya Akuaponik telah lama diusahakan memandangkan sistemnya yang menarik. Dengan keluasan ruang yang terhad, akuaponik mampu menghasilkan pengeluaran ikan sekitar 20 hingga 30 kg setiap pusingan ternakan serta mampu menjana pengeluaran hasil tanaman sekitar 15 hingga 20 kg setiap pusingan.
Saya sangat berminat melihat kreativiti pengusaha yang boleh menggayakan halaman kediaman mereka dengan tanaman sayuran diselang selikan dengan tanaman hiasan. Siapapun akan tertawan hatinya bila melihat kediaman mereka kemas, cantik dan menarik dengan keindahan lanskap tanaman hiasan berupa sayuran dedaun dan jenis berbuah. Malah diperkayakan lagi dengan adanya ternakan ikan yang mampu memanfaatkan sumber makanan kepada pemiliknya.
Jom kita lihat apa Asas Sistem Akuaponik
Secara asas, ianya dilengkapi dengan tangki ternakan ikan yang terletak dibahagian bawah, manakala para tanaman yang meliputi 6 baris para terletak di bahagian atas tangki ternakan yang dilengkapi pasu tanaman bersaiz kecil.
Di bahagian dalam tangki ternakan, pam air jenis rendaman (submersible pump) ditempatkan berfungsi menyedut dan menghantar air dari tangki ternakan ke para tanaman di bahagian atas melalui sistem paip yang dipasang menyambungkan para tanaman ke tangki ternakan.
Secara graviti air dari para tanaman akan turun semula ke tangki ternakan secara kitaran berterusan. Kaedah ini juga menjana bekalan oksigen terlarut di dalam air di tangki ternakan untuk kegunaan pernafasan ikan.
Sistem paip dan para tanaman yang mudah dipasang dan dibuka; akan memudahkan pengusaha membuat penyelenggaraan serta mencuci kemudahan peralatan sistem akuaponik ini dengan baik mengikut jadual.
Jom kita dekati kaedah operasi ternakan ikan dan tanaman sayuran menggunakan sistem Akuaponik.
Ternakan Ikan
Ada beberapa jenis ikan yang sesuai diternak menggunakan sistem akuaponik ini. Antaranya ialah Keli, Tilapia, Puyu dan juga ikan-ikan air tawar lain. Walau bagaimanapun, pemilihan jenis ikan yang boleh diternak dan dituai dalam jangka masa lebih pendek adalah lebih sesuai. Ternakan seperti keli akan mengurangkan penggunaan sistem bekalan pengudaraan dan pastinya ianya mampu menjimatkan kos penggunaan bekalan elektrik.
Biasanya ikan keli dipilih kerana tempoh ternakan keli bagi satu pusingan adalah sekitar 100 hari sahaja (3 bulan 10 hari). Pengunaan EM (Effective microbes) akan menghasilkan air baja yang sangat baik untuk tanaman. EM juga menyebabkan air di dalam tangki ternakan tidak berbau busuk dan ianya juga boleh digunakan sebagai air baja yang baik untuk tanaman i dalam polibeg yg ditempatkan berhampiran dengan tangki akuaponik.
Makanan ikan keli yang sesuai digunakan ialah jenis makanan rumusan; pelet.

No comments:
Post a Comment