Friday, June 12, 2009

Asas Perancangan Di dalam Pelaburan Akuakultur


Biasanya jika pengusaha baru di dalam bidang akuakultur ingin memulakan perniagaan atau pelaburan di dalam bidang ini, mereka akan memulakannya dengan membina perancangan kerja. Sepertimana di dalam amalan pengurusan ianya bermula dengan 5W + 1H.


5 W yang dimaksudkan ialah 'What', 'Why', 'Where', 'Who', 'When' dan 1H pula bermaksud 'How' dan secara jelasnya ianya adalah:


'What' adalah merujuk kepada Apakah jenis ternakan yang akan diusahakan? Samada ikan air tawar, ikan laut, ikan hiasan, udang atau kerang-kerangan. Apakah teknik ternakan yang akan digunakan?


'Why' adalah merujuk kenapa memilih jenis ternakan dan kaedah ternakan tersebut? Ianya juga merujuk kepada sejauh mana kita telah membuat analisa dan tinjauan terhadap potensi jenis ternakan yang bakal kita usahakan itu. Adakah ianya mempunyai potensi untuk diusahakan secara berskala besar? Adakah pelaburan ini lebih berdayamaju dan cekap berbanding jenis ternakan lain? Pelbagai persoalan perlu dibuat analisa terlebih dahulu sehingga jawapannya memenuhi kehendak asal pelaburan iaitu keuntungan.


'Where' pula merujuk kepada lokasi projek, adakah lokasi yang dipilih telahpun mempunyai kemudahan asas? Bagaimana dengan sumber air? Apakah memerlukan tambahan kos bagi tujuan kemudahan asas, pengangkutan dan sebagainya?


'Who'; Bagi perkara ini, ianya menyentuh isu Siapa yang akan mengendalikan projek? Apakah perjawatan yang bakal terlibat dengan projek dan bilangan sumber manusia yang bakal dilibatkan mengikut fasa perancangan projek tersebut. Mengenalpasti sumber manusia yang bakal terlibat adalah sangat baik bagi tujuan perletakan sumber mengikut perjawatan secara cekap dan berkesan.


'When' iaitu Bila; ianya merujuk kepada jadual perancangan kerja mengikut tempoh masa yang dirancang. Ini akan melibatkan anggaran tarikh mula setiap aktiviti di dalam program projek dan tempoh masa yang bakal diambil dalam menyiapkan sesuatu tindakan. Penyediaan carta 'Gantt' adalah dilihat berkesan untuk membuat pemantauan kemajuan projek.


'How' iaitu Bagaimana di dalam perancangan adalah merujuk kepada bagaimanakah perlaksanaan projek dapat dilakukan atau disempurnakan. Ianya melibatkan persoalan samada dibangunkan sendiri atau melalui pihak ketiga. Penggunaan modal sendiri atau pinjaman. Diusahakan secara sendiri atau usahasama dan lain-lain.

Thursday, January 22, 2009

Foto Kaedah Ternakan - Akuakultur











Kaedah ternakan yang berperancangan dengan mengambilkira operasi akuakultur lestari adalah sangat penting dalam mewujudkan Amalan Akuakultur Baik di peringkat ladang. Selain dari itu, susunatur ladang dan susunatur peralatan di dalam bangunan ternakan membawa imej baik kepada pengusaha dan syarikat perladangan akuakultur itu sendiri. Jadilah pengusaha akuakultur yang boleh menaikkan imej ladang mesra alam negara yang boleh dicontohi malah mendapat pengiktirafan Kerajaan dan Organisasi Pensijilan Ladang Akuakultur dunia.
Pembangunan ladang akuakultur sebaiknya adalah dengan mendapatkan khidmat nasihat dan bantuan teknikal kejuruteraan akuakultur. Penggunaan ruang untuk kolam/tangki ternakan yang tepat akan menjimatkan kos pembangunan ladang, memudahkan operasi ternakan dilaksanakan serta mampu memperlihatkan suasana premis yang kemas dan teratur.
Perletakan harga hasil pengeluaran ladang dapat dilaksanakan dengan lebih baik dan pengusaha mampu menjadikan kekuatan ladang bersih dan lestari sebagai modal untuk memberi keyakinan terhadap kualiti pengeluaran ladang berkenaan sendiri.

Senario Akuakultur di Malaysia Masa Kini (secara ringkas)


Kaedah akuakultur di Malaysia masa kini banyak tertumpu kepada penggunaan kolam tanah, tangki simen, tangki konkrit, tangki kanvas, tangki sistem akuakultur kitar semula (RAS), sangkar, kepungan (pen-culture), para dan rakit. Rata-rata pengusaha akuakultur yang menceburi bidang ini adalah bermatlamatkan perniagaan iaitu keuntungan. Pengusaha akuakultur yang bijak akan sentiasa mengikuti perkembangan dan kemajuan di dalam industri ini. Samada melalui bahan bacaan dari buku, majalah, internet mahu pun melalui kaedah berkursus secara intensif di pusat-pusat latihan kerajaan dan swasta, semuanya adalah bertujuan untuk mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran sedia ada.


Mempunyai rakan pembimbing yang sedia berjaya di dalam industri akuakultur adalah salah satu kaedah mempercepatkan lagi kemajuan dan kejayaan pengusaha di bidang ini. Pilihlah kawan-kawan yang berpengalaman dan benar-benar menceburi bidang ini sebagai pembimbing atau mentor anda. Jangan mudah percaya kepada iklan-iklan serta tawaran-tawaran yang kelihatan sangat menguntungkan sedangkan cara operasi ternakan adalah kabur dan tidak telus. Hubungi jabatan teknikal yang sedia ada di dalam perkhidmatan kerajaan untuk membantu pengusaha baru membuat pilihan atau keputusan bagi pelaburan di dalam industri ini. Jabatan Perikanan Malaysia yang mempunyai pejabat-pejabat di peringkat Ibu Pejabat, Negeri dan Daerah adalah merupakan sumber rujukan untuk pengusaha baru mahupun pelabur berbincang bagi memulakan perniagaan atau pelaburan di bidang ini.